HOME | GALERI | MISTIK
Custom Search

SELAMAT DATANG.

Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada pengunjung blog Anok Pahang. Blog ini bertujuan mengupas isu-isu semasa dan sejarah berkaitan anak-anak kelahiran Pahang. Tidak dilupakan para pejuang bangsa yang telah bermatian menumpahkan darah semata-mata untuk mempertahankan tanah air yang tercinta. Jika anda ada sebarang cadangan atau sebarang maklumat yang mahu dikongsikan bersama, harap dapatlah menghubungi saya. Semoga dengan bantuan dan maklumat anda, blog ini dapat mencapai matlamatnya. Selamat bertandang.

Tuesday, May 19, 2009

Kemajuan Negeri Pahang.

Rata-rata kita lihat kemajuan setiap daerah di Negeri ini agak seimbang dan saban tahun menunjukkan perkembangan yang memberansangkan. Untuk post kali ini, saya akan memaparkan info berkaitan daerah Kuantan terlebih dahulu. Ini supaya pengunjung blog lebih mengenali Kuantan sebagai ibu negeri ini. Bagi sebuah ibu negeri, Kuantan dikenali sebagai Mutiara Pahang. Ini kerana kemajuan dan permodenan bandar ini lebih jauh menonjol dari daerah lain, bahkan Kuantan dikatakan sebuah bandar yang paling membangun di pantai timur. Dengan infrastruktur yang moden, keperluan sosial yang lengkap, kemudahan pendidikan yang baik serta populasi penduduk yang lebih dari 500,000 orang telah melonjak nama Kuantan sebagai bandar yang ideal.
Ni gambar Kompleks Teruntum. Kalau masuk bandar Kuantan, bangunan ni antara yang pertama kita akan nampak. Komplek Teruntun adalah bangunan pejabat dan terletaknya Shopping Kompleks yang pertama di Kuantan. Dulu tapak bangunan ni adalah balai polis dan beret polis.
Ni pulak gambar bandar Kuantan dulu-dulu. Orang dulu mesti rasa bangga dengan perkembangan bandar Kuantan sekarang. Bangunan ni terletak di Jalan Teluk Sisik sekarang. Sapa yang duduk di Kuantan tu, boleh lah jenguk bangunan tu sekarang.
Kebanyakan pelancong yang datang dari luar Kuantan akan singgah ke Taman Espalanade atau lebih dikenali oleh orang tempatan sebagai Benteng. Pengunjung yang datang pasti akan memuji keindahan cahaya lampu pada waktu malam di sini. Tambahan pula dengan adanya aktiviti memancing disepanjang taman ini telah memeriahkan lagi suasana.

Pemandangan waktu malam di bandar Kuantan memang cantik. Walaupun tak seriuh bandaraya besar seperti Kuala Lumpur, tapi kecerian bandarnya ada kelebihan tersendiri.
Pentadbiran Kuantan sekarang sedang meneliti pembangunan yang mampan sejajar dengan ekonomi global. Antara pembinaan baru yang sedang dirancang adalah seperti menara tinjau, keretapi laju Kuantan - Kuala Lumpur dan beberapa pusat kesenian dan hiburan yang bertaraf dunia. Projek mega ini dijangka bermula pada tahun 2012 dan siap pada 2015. Semoga suatu hari nanti, Kuantan akan menjadi sebuah Metropolis yang dikenali di mata dunia.

Thursday, May 14, 2009

Kain Cindai.


Kain Cindai atau juga dikenali sebagai kain Limar, merujuk kepada kain tenunan sutera halus yang bermutu tinggi. Kain Cindai merupakan kain yang mempunyai tenunan benang tinggi setiap inci dan dikatakan mempunyai keistimewaannya yang tersendiri. Jumlah tenunan ikat berkembar yang tinggi ini menjadikan kain Cindai amat kukuh dan menjadi rebutan kerana dianggap mampu menahan tikaman senjata. Ini boleh dianggap sebanding dengan pengunaan baju sutera oleh pahlawan Mongol yang menyebabkan panah yang menembusi tubuh mereka tidak mampu menembusi alas baju sutera mereka, dengan itu membolehkan mata panah ditarik keluar.

Pembuatan kain Cindai juga memerlukan kapakaran menenun yang tinggi, menyebabkan jumlah yang dihasilkan terhad dan dengan itu mendapat permintaan yang tinggi. Ini menyebabkan harganya tinggi dan menjadi simbol status sebagai bangsawan dan hartawan.

Kain cindai juga digunakan sebagai senjata kerana kekukuhannya dan digunakan secara menyebat. Ia juga digunakan secara mencekik, menyambar anggota badan lawan dan mengunci atau mengikat pergerakan lawan. Kebiasaannya untuk pertarungan, satu hujung kain ini akan diikat dalam simpulan tertentu untuk berfungsi sebagai pemberat bagi memudahkan ia disebat. Pakar cindai boleh menyebat simpulan ini dengan tepat dan dikatakan mereka dapat memecahkan busut dengan ketepatan dan kekuatan sebatan itu. Kebiasaannya pesilat wanita menggunakannya sebagai senjata pertahanan diri kerana kain cindai digunakan sebagai tudung/selubung, selendang atau ikat pinggang dalam pemakaian tradisional pakaian wanita Melayu.

Tuesday, May 12, 2009

Kesaktian Dato' Bahaman.


Semasa di Hulu Sat @ Machang, Long Mansur (cucunda Baginda Long Gaffar ) banyak menghabiskan masa dengan kegemarannya iaitu menjinakkan gajah yang diambil di Hulu Lebir (Hulu Kelantan). Pada satu masa, ketika baginda berada di sana, datang rombongan Dato’ Bahaman bersama keluarga dan pengikutnya bagi meminta perlindungan di Kelantan setelah melarikan diri dari buruan Inggeris di Pahang. Pemberontakan Dato’ Bahaman di Pahang bermula pada 8 Oktober 1891 selepas beliau dilucutkan jawatan sebagai Orang Kaya Semantan oleh Sultan Ahmad kerana enggan menurut perintah Inggeris yang melarangnya mengutip cukai. Beliau dikatakan telah melarikan diri ke Kelantan pada akhir tahun 1894 selepas gagal dalam pemberontakan tersebut. (Sejarah Darul Iman, m.s 241).


Semasa kejadian peristiwa ini, pemerintahan Kota Bharu bertukar kepada Sultan Mansor. Dato’ Bahaman dikatakan merupakan keluarga Sultan Mansor dan beliau membahasakan Sultan Mansor sebagai “Abang” di dalam percakapannya. Berita kedatangan Dato’ Bahaman ini diketahui oleh Sultan Mansor, lalu beliau datang berjumpa Baginda Long Mansor di Machang bagi memintanya supaya menjaga dan melindungi Dato’ Bahaman dan keluarganya. Baginda Long Mansor pada masa itu tidak terfikir akibat daripada tindakannya itu tadi kepada kesinambungan pemerintahan keturunan Long Ghafar di Kelantan. Tindakan Sultan Mansor tersebut adalah helah beliau bagi mengelakkan dirinya daripada tuduhan melindungi Dato’ Bahaman yang pada masa itu menjadi buruan Inggeris.

Kata Sultan Mansor, “ Pak Do tolong ambil orang kita di Hulu Lebir dan bawa balik ke rumah serta peliharalah”. Long Mansor tidak membantah, lalu tinggallah Dato’ Bahaman bersama keluarga dan pengikutnya di Machang di bawah jagaan Long Mansor. Menurut satu riwayat, beliau tinggal di sana selama 2 _ tahun. Menurut catatan di dalam buku Sejarah Darul Iman (m.s 240) Dato’ Bahaman serta pengikutnya seramai 12 orang telah membuat kediaman di Sungai Ampul, iaitu cawangan daripada Sungai Lebir di Hulu Kelantan pada akhir tahun 1892.

Berita Dato’ Bahaman mendapat perlindungan di Kelantan akhirnya telah diketahui oleh Inggeris, lalu wakil kerajaan Inggeris telah datang ke Kelantan dan berjumpa Sultan Mansor di Kota Bharu meminta supaya menyerahkan “penderhaka” tersebut. Kata Sulltan Mansor, “Kita tidak boleh buat apa-apa kerana kita di bawah takluk Bangkok. Kalau nak selesai dengan mudah minta sendiri pergi ke Bangkok minta kebenaran Raja Siam untuk tangkap keluarga Dato’ Bahaman”. Mereka kemudiannya pergi ke Bangkok bagi meminta keizinan. Raja Siam memerintahkan dengan perintahnya, “Kalau tak dapat Dato’ Bahaman, orang yang beri perlindungan kepada beliau, siapa saja akan menjadi ganti”. Maka terkenalah Baginda Long Mansor dengan tipu muslihat Sultan Mansor.

Orang-orang Inggeris itu kemudiannya kembali semula ke Kelantan bersama-sama dengan askar-askar Siam. Berita kedatangan askar-askar Siam untuk mengambil Dato’ Bahaman itu diketahui oleh Baginda Long Mansor, lalu baginda pergi berjumpa dengan Tengku Chik Tua Machang meminta nasihat. Beliau menasihati Baginda Long Mansor dengan katanya, “ Kita tak boleh lawan Siam, sebab anak kita duduk di Kota Bharu (iaitu Tengku Salleh, anak Long Mansor yang berkahwin dengan anak sultan yang bernama Tengku Tengah atau Tengku Kembang, anak Long Sulong atau Sultan Ahmad)”. Tambahnya lagi, “Jangan lawan Siam sebab seluruh keluarga kita akan dibunuh oleh Siam”.

Selepas itu Baginda Long Mansor balik dan memanggil Dato’ Bahaman mengadap, lalu menceritakan keadaan yang sebenarnya. Kata Dato’ Bahaman, “Kita hanya patuh kepada keturunan raja Melayu yang asal, kita tidak kira siapa yang memerintah, mati pun kita redha, berkhidmat kepada raja Melayu”. Baginda Long Mansor amat bersimpati akan nasib Dato’ Bahaman, lalu memintanya berundur daripada Machang. Terdapat dua cara berudur yang digunakan, iaitu;
1. Keluarga Dato’ Bahaman berundur ke Kuala Berang, Terengganu.
2. Dato’ Bahaman pula, seorang diri pergi ke Menara (Narathiwat).
Pada masa Dato’ Bahaman mengadap Baginda Long Mansor itulah, askar-askar Siam telah mengepong keluarga serta pengikut Dato’ Bahaman di rumah Tengku Deraman di Kampung Kok Kiok di Bukit Bakau, Machang. Berita kepungan itu diketahui oleh Baginda Long Mansor, lalu katanya, “Dato’, keluarga Dato’ telah dikepong oleh askar-askar Siam pada masa maghrib”. Dato’ Bahaman kemudiannya terus pergi untuk menyelamatkan keluarganya yang sedang dikepong. Bersamanya dibawa lembing yang bernama “Beringin” (lembing berupa daun sireh), yang dikatakan mampu untuk memukau orang.

Apabila tiba di sana, lembing tersebut terus dipacakkan ke tanah di hadapan tangga rumah yang dikepong. Akibatnya semua askar Siam yang sedang mengepong itu dipukau dan tidak menyedari apa yang berlaku. Lantas Dato’ Bahaman menyuruh seluruh keluarganya turun dan melarikan diri ke Hulu Terengganu (Kuala Berang). Kemudian, pada malam itu juga Dato’ Bahaman melarikan diri ke Menara. Menurut Buku Darul Iman (m.s. 242), pada November 1895, Dato’ Bahaman, Awang Nong, The Ibrahim, Haji Mat Wahid dan Mat Lela, telah menyerahkan diri kepada orang-orang besar Siam lalu dibawanya ke Siam. Sebenarnya Dato’ Bahaman tidak pernah menyerah diri kepada Siam. Apa yang dilakukan ialah beliau melarikan di ke Menara dan bersembunyi di sana.

Pada pagi keesokannya, askar-askar Siam itu menangkap Baginda Long Mansor dan di bawa ke Kota Bharu. Di sana tiga orang lagi ditangkap iaitu;
1. Pak Nik Ya (penghantar bunga emas).
2. Dato’ Lela Perkasa Lundang.
3. Tuan Tabal.

Keempat-empat orang ini dibawa ke Bangkok sebagai tahanan selama tiga tahun. Apabila genab tiga tahun, tiga orang dihantar pulang ke Kota Bharu, tetapi Baginda Long Mansor dikatakan telah meninggal dunia semasa di dalam tahanan kerana penyakit “orang baik” (barah) dan dikebumikan di Bangkok (ditanam di dalam selut). Sebenarnya Baginda Long Mansor mati dibunuh dan hal ini diceritakan oleh Tok Kancil, iaitu pengawal peribadinya yang bersama-sama baginda semasa dalam tahanan di Bangkok. Menurut ceritanya, kepala baginda disimpan dalam muzium di Bangkok sehingga ke hari ini, bersama-sama dengan kepala Tuan Lebih iaitu Raja Reman.

Berdasarkan catatan ini jelas bahawa Datuk Bahaman tidak mati dibunuh oleh Siam (atas arahan British)...beliau dikatakan muncul semula "lewat" kemunculan Mat Kilau....walaubagaimanapun kumunculan Datuk Bahaman (Tok Guru Peramu) tidak diiktiraf kerajaan khususnya kerajaan Pahang dipercayai atas sebab-sebab berkaitan dengan "tahta" Kesultanan Pahang....lagipun "Tok Guru Peramu" juga enggan mengaku bahawa beliaulah Datuk Bahaman...jadi kisahnya kemudiannya lenyap begitu sahaja.

Pahlawan Dato' Bahaman.

Abdul Rahman bin Tuanku Imam Nuh, lebih dikenali sebagai Dato' Bahaman ialah Orang Besar yang menentang penjajah British di Semantan, kawasannya di negeri Pahang, Tanah Melayu.

Bahaman ialah anak kepada Tuanku Imam Nuh yang berasal dari Bangkinang, dan Rokiah Abdul Rahman, anak perempuan Tok Setia Perkasa Semantan yang berketurunan Bugis dari Sulawesi Selatan. Seorang yang pandai bersilat dan mempunyai ilmu kebal, kelebihan ini telah menyebabkan Bahaman digelarkan 'Seman Tahan' oleh penduduk di sekitar kawasan itu sehingga sungai yang tidak bernama ketika itu diberi nama Sungai Seman Tahan dan seterusnya menjadi tempat persinggahan British.

Punca utama Perang Semantan ialah ketidakpuasan hati Orang-orang Besar Pahang terhadap campur tangan British ke atas kawasan mereka. Ketegangan itu bermula pada bulan Disember 1890 ketika E.A Wise hendak mendirikan sebuah balai polis di Lubuk Terua yang terletak di kawasan Dato' Bahaman, tanpa sebarang perundingan dengannya. Apabila Hugh Clifford, Pemangku Residen British Pahang, mengetahui hal tersebut, beliau menasihatkan Sultan dan baginda kemudian menitahkan Dato' Bahaman supaya pergi ke Pekan agar perkara itu dapat disiasat. Oleh sebab Dato' Bahaman enggan ke Pekan, Sultan mengeluarkan surat perintah yang melucutkan pangkat dan tarafnya sebagai Orang Kaya Semantan.

Tindakan itu menyakitkan hati Dato' Bahaman. Keadaan ini menyebabkan beliau dan pengikut-pengikutnya menyerang hendap C.E.M Deaborough di Sungai Semantan pada 15 Disember 1891 ketika beliau menyangka Desborough datang untuk menangkapnya. Dalam serangan tiba-tiba itu, pihak Desborough telah kalah dan mereka melarikan diri ke bandar Temerloh.

Setelah mengetahui peristiwa di Semantan itu, pegawai-pegawai British Pahang menyediakan tentera untuk melawan pembangkang-pembangkang Melayu. Ekoran dari itu pada 21 Disember 1891, satu pasukan yang diketuai oleh Clifford dan Tengku Mahmud pergi ke Kampung Kelubi yang merupakan kubu kedua pertahanan Dato' Bahaman. Di sini berlaku sekali lagi pertempuran antara pihak British dengan Dato' Bahaman tetapi pihak British sekali lagi ditewaskan.

Tuesday, May 5, 2009

Pahlawan Mat Kilau.



Nama penuh beliau adalah Mat Kilau bin Imam Rasu @ Tok Gajah. Ibu beliau adalah Mahda iaitu anak kepada Tok Kaut Burau. Mat Kilau dipercayai lahir dalam tahun 1865/1866 di Kampung Masjid, Pulau Tawar. Mat Kilau pandai mengaji, berzanji dan berdikir maulud serta belajar berdikir rebana yang dikenali sebagai ‘Dikir Pahang’. Hobi Mat Kilau adalah bermain gasing dan berlaga buah keras sehingga sentiasa menjadi juara di kampung beliau.

Apabila berusia lebih kurang 20 tahun, Mat Kilau berkahwin dengan seorang gadis yang bernama Yang Chik binti Imam Daud, Kampung Kedondong. Hasil perkahwinan ini Mat Kilau telah dikurniakan tiga orang anak. Setelah berkahwin barulah Mat Kilau belajar bersilat dan menuntut ilmu kebatinan. Mat Kilau bukan sahaja belajar bersilat sebagaimana sahabatnya yang lain, bahkan beliau lebih mendalami silat dengan menggunakan senjata seperti keris dan parang.Mat Kilau juga banyak menuntut ilmu daripada ayahnya sendiri iaitu Tok Gajah. Ilmu kebatinan secara agama banyak dituntutnya daripada Haji Botok yang dikenali juga sebagai AL-Allamah Haji Botok bin Osman sebelum dia berpindah dari Kelantan sebagai Mufti Negeri Pahang.sila rujuk buku Tokoh-tokoh Ulama Semenanjung Tanah Melayu, terbitan Majlis Agama Islam dan Adai Istiadat Melayu Negeri Kelantan Jilid 2, bab Ulama Kelantan yang masyhur di luar kelantan. sebelum berhijrah ke Pahang Hj Botok yang merupakan Pawang Di Raja Kelantan telah berselisih faham dengan Raja Kelantan yang menjadi sebab beliau berpindah ke Pulai Tawar,Pahang. Hj Botok mempunyai dua lagi saudara di kampung Berangan Tumpat,yang bernama Mat Diah bin Osman (tok chik mat diah)dan Merah bin Osman (tok chik hj merah).Hj Botok aliran Pencak Silat Gagungman 9 Purba Sakti merupakan murid kepada ulama Patani yang mashur sebagai Tok Bendang Daya Tua. nama sebenar Tok Botok ialah Botok bin Raja Osman B Raja Ali Legeh Patani. datuk Hj Botok adalah imigran perang Siam-Melayu Patani yang merupakan kerabat di Raja Legeh Patani yang terpaksa berhijrah ke KELANTAN akibat di langgar Siam.

Mat Kilau mempunyai sifat-sifat seorang pemimpin dan pemikiran yang matang telah menjadikan beliau seorang pemuda yang sangat disegani dan dihormati. Mat Kilau mempunyai cara pemikiran yang matang. Pada bulan Oktober 1888 semasa Tok Gajah berada di Pekan, Hugh Clifford telah datang ke Pulau Tawar dan berunding dengan Mat Kilau. Ini menunjukkan Clifford mempercayai idea-idea Mat Kilau. Beliau suka bergaul dengan setiap lapisan masyarakat dan ini membuatkan beliau menjadi seorang yang luas pandangan dan mendapat kepercayaan penuh dari masyarakat. Mat Kilau adalah seorang yang jujur dan tegas, justeru itu dia sangat disegani dan amat dikasihi oleh pengikut-pengikutnya. Pengikutnya terlalu ramai,tetapi yang diketahui namanya ialah Awang Nong,Teh Ibrahim, Mat Kelubi, Mat Ali(khatib), Awang(Imam) dan Mat Tahir. Mereka ini sanggup sehidup semati dengan Mat Kilau.

Khabar yang menyatakan Mat Kilau mati tersiar di dalam akhbar-akhbar Inggeris yang diterbitkan di Singapura. The Straits Times dan The Free Press menyatakan "Ketua Pendehaka, iaitu Dato' Bahaman telah jatuh ke tangan pemerintahan Siam pada bulan Oktober,1895. The Free Press pula memberitahu bahawa "Mat Kilau telah melawan apabila hendak ditawan dan akibatnya dia telah cedera di muka dan di kepalanya. Luka-luka itu sangat parah dan dia telah mati di dalam perjalanan ke hilir Kota Bharu disebabkan kehilangan banyak darah". Dengan tersiarnya berita kematian Mat Kilau oleh akhbar The Free Press keluaran 22 Oktober 1895, maka pada pendapat umum tamatlah sudah riwayat Mat Kilau.akan tetapi apa yang sebenarnya berlaku tiada diketahui kecuali beberapa orang sahabatnya seperti Mustafa bin Awang Mat(Jusoh Rimau), Pendekar Tok Demali ,Raja Ibrahim(Pak Him), Mat Kelantan dan beberapa orang lain. Disebabkan Mat Kilau dicop sebagai 'penderhaka' oleh Inggeris,maka terpaksalah Mat Kilau mengasingkan diri dan berpindah dari satu tempat ke satu tempat dan akhirnya bermastautin di Batu 5,Jalan Kuantan-Gambang. Semenjak 1930 Mat Kilau juga terpaksa menukar namanya buat beberapa kali dan akhirnya dia memakai nama Mat Siam.

Dalam bulan Disember 1969,Tuhan telah menggerakkan hati Mat Kilau yang pada itu memegang kad pengenalan diri K/P 2044778 dan bernama Mohamad bin Ibrahim,memperkenalkan dirinya yang sebenar.Untuk mengelakkan dirinya dari menjadi tumpuan ramai,maka Mat Kilau telah bersetuju mengumumkan dirinya di kampung kelahirannya. Atas daya usaha Omar bin Mat Kilau,maka Mat Kilau dibawa ke Kampung asalnya iaitu Kampung Masjid,Pulau Tawar. Pada hari Jumaat 26 Disember 1969, Mat Kilau telah pergi ke Masjid di Kampung Masjid untuk bersembahyang Jumaat. Selepas sembahyang, Mat Kilau telah mebaca Quran dan kemudiannya mengistiharkan dirinya sebagai Mat Kilau. Pengisytiharan ini telah mengemparkan orang ramai sehingga Kerajaan Pahang menubuhkan sebuah jawatankuasa untuk menyiasat. Jawatankuasa itu dibentuk pada 8 Januari 1970. Beberapa orang telah ditemuramah bagi membuktikan bahawa Mat Siam itu adalah Mat Kilau. Setelah disahkan maka pada pukul 10.30 pagi hari Khamis,6 Ogos 1970, Mat Siam diisytiharkan sebagai Mat Kilau oleh Menteri Besar PahangYAB Tan Sri Haji Yahaya Mohd Seth. Setelah empat hari selepas pengumuman pengiktirafan terhadap dirinya dibuat, Mat Kilau meninggal dunia kerana keuzuran. Usianya ketika itu dipercayai berusia 122 tahun.

Wednesday, April 29, 2009

Sejarah Kesultanan Negeri Pahang

Kesultanan Negeri Pahang adalah daripada keturunan Raja-Raja dan Bendahara Melaka yang merupakan keturunan daripada Sang Nila Utama dengan puteri Demang Lebar Daun dari Palembang iaitu Raden Ratna Cendera Puri.

Kesultanan Negeri Pahang telah wujud semenjak zaman Melaka apabila Sultan Muhammad Shah iaitu putera kepada Sultan Mansur Shah dengan Puteri Onang Sari yang dilantik menjadi sultan yang pertama bagi Negeri Pahang. Sebelum itu, Pahang telah diperintahkan oleh Kerajaan Siam.

Pada tahun 1614, berlaku peristiwa di mana perebutan kuasa antara Sultan Abdul Ghafur dengan anggota keluarganya dan berakhir dengan satu pembunuhan di mana Sultan Abdul Ghafur dan Raja Muda Abdullah terbunuh. Bagi mengekalkan pemerintahan Negeri Pahang, Sultan Ahmad telah dilantik sebagai Sultan di Pahang. Pada tahun 1617, Kerajaan Acheh telah menyerang Pahang di mana Sultan Ahmad bersama anggota keluarganya telah dibawa ke Acheh. Dengan ini, berakhirlah era pemerintahan Kesultanan Pahang yang berasal daripada zuriat Sultan Melaka secara langsung.

Seterusnya, pemerintahan Negeri Pahang telah diletakkan di bawah Kesultanan yang berpusat di Johor. Di bawah kesultanan tersebut, pemerintahan Negeri Pahang diletakkan di bawah pemerintahan seorang Bendahara. Keadaan ini berterusan sehinggalah kepada pemerintahan Sultan Mahmud Shah II. Namun demikian, pemerintahan Sultan Mahmud Shah II (Marhum mangkat dijulang) tidak lama, di mana Baginda telah terbunuh dalam peristiwa menuntut bela oleh Megat Seri Rama (Laksamana Bentan) di atas kematian isterinya yang diriwayatkan sebagai di bawah titah Sultan Mahmud Shah. Oleh kerana Baginda tidak meninggalkan zuriat, maka pemerintahan telah berpindah kepada Bendahara pada masa itu iaitu Bendahara Paduka Raja, Tun Abdul Jalil anak Bendahara Seri Maharaja Tun Habib Abdul Majid (Marhum Padang Saujana).

Tun Abdul Jalil (Marhum mangkat di Kuala Pahang) menaiki takhta kerajaan dengan gelaran Sultan Abdul Jalil Riayat Shah IV. Seorang putera Baginda bernama Tun Abbas dijadikan Bendahara yang memerintah di Pahang. Seorang lagi putera Baginda, Tengku Sulaiman menggantikan Baginda sebagai Sultan bagi Kerajaan Johor-Pahang-Riau, dengan gelaran Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah. Dari zuriat Tun Abbas inilah lahirnya pemerintahan negeri Pahang daripada kalangan Bendahara sehingga pemerintahan Bendahara Siwa Raja, Wan Ahmad. Pada tahun 1824, pihak Belanda telah mengikat perjanjian dengan Inggeris yang mengakibatkan pemisahan pemerintahan di antara Riau dengan Johor dan Pahang. Setelah kuasa Raja di Riau dirampas oleh Belanda, maka pemerintah Pahang dan Johor telah mengisytiharkan pemerintahan sendiri dengan memakai gelaran Sultan. Kesultanan Pahang yang ada pada hari ini telah bermula dengan Sultan Ahmad Al-Mu'adzam Shah pada tahun 1882 dan dari zuriat Baginda, kekalnya Raja Pemerintah Negeri Pahang hingga ke hari ini.

Sultan I

Duli Yang Maha Mulia Sultan Ahmad Al-Mu'adzam Shah ialah anakanda kepada Bendahara Ali dengan Che Long, juga dikenali sebagai Che Lingga. Bendahara Ali adalah pemerintah Negeri Pahang bagi tahun 1806 hingga 1857 .

Duli Yang Maha Mulia Sultan Ahmad Al-Mu'adzam Shah telah diputerakan pada 23 Mei 1836 bersamaan 5 Muharram 1252 H, di istana ayahandanya di Pulau Maulana, Pekan. Sultan Ahmad Al-Mu'adzam Shah merupakan putera yang kelima dari sebelas saudara. Baginda telah diisytiharkan menjadi Sultan pada 16 Ogos 1882. Duli Yang Maha Mulia Sultan Ahmad Al-Mu'adzam Shah telah mangkat pada 9 Mei 1914, setelah memerintah selama lebih kurang lima puluh tahun penuh daulat di atas takhta singgahsana kerajaan Negeri Pahang. Baginda mangkat dengan meninggalkan beberapa orang isteri, putera dan puteri, dan telah dimakamkan di Makam Diraja di Kampung Marhum, Kuala Pahang pada 11 Mei 1914.

Sultan II

Perkongsian hidup di antara Duli Yang Maha Mulia Sultan Ahmad Al-Mu'adzam Shah dengan Che Pah, seorang daripada isteri Baginda telah dikurniakan seorang putera yang bernama Tengku Mahmud pada hari Jumaat 4 Februari 1868 bersamaan 10 Syawal 1254H. Tengku Mahmud diberi layanan dan asuhan yang sempurna daripada pengasuh khas.

Walaupun Baginda mendapat pelajaran secara tidak formal tetapi tanda-tanda kepandaian, kecerdikan dan kebijaksanaan Baginda memang terserlah. Tengku Mahmud bijak berkira bicara dan berunding. Pegawai- pegawai British yang datang ke Pahang pada masa itu sangat tertarik hati dan memuji kebijaksanaan Tengku Mahmud. Pergaulan yang baik dengan pegawai-pegawai British memberi peluang kepada Tengku Mahmud belajar menulis dan membaca serta cara- cara berfikir sebagai seorang yang bakal menggantikan ayahandanya.

Duli Yang Maha Mulia Sultan Ahmad Al-Mu'adzam Shah telah mengangkat puteranya Tengku Mahmud menjadi Pemangku Raja pada 22 Julai 1889 bagi membantu Baginda di dalam urusan pemerintahan negeri. Kemudiannya, menurut persetujuan Sultan Ahmad Al-Mu'adzam Shah yang disahkan di dalam Mesyuarat Negeri pada 11 Oktober 1891, Tengku Mahmud diberi gelaran Tengku Besar Pahang iaitu gelaran kepada seorang bakal Sultan.

Baginda telah berkahwin dengan Tengku Mariam iaitu puteri kepada Al-Marhum Sultan Abu Bakar (Johor) pada Julai 1913 tetapi tidak meninggalkan zuriat.

Baginda menggantikan ayahandanya sebagai Sultan Yang Memerintah pada 9 Mei 1914 dan Tengku Mariam pula dilantik sebagai Tengku Puan Besar. Pemerintahan Baginda sebagai Sultan tidak lama, apabila Baginda mangkat pada 19 Jun 1917 di Rumah Rehat Kuala Pahang.


Sultan III

Duli Yang Maha Mulia Sultan Abdullah Al-Mu'tasim Billah Ibni Al-Marhum Sultan Ahmad Al-Mu'adzam Shah telah diputerakan pada malam Khamis, 25 Syawal 1296 bersamaan 12 Oktober 1874, di istana ayahandanya dan bondanya Cik Su'ma di Pekan Lama. Baginda merupakan putera yang kelima Al-Marhum Sultan Ahmad Al-Mu'adzam Shah Ibni Al-Marhum Bendahara Ali.

Baginda telah dilantik menaiki takhta kerajaan Negeri Pahang setelah kemangkatan kekanda Baginda iaitu Sultan Mahmud. Baginda telah ditabalkan sebagai Sultan Abdullah Al-Mu'tasim Billah Ibni Al-Marhum Sultan Ahmad Al-Mu'adzam Shah pada bulan Mei 1919, di Balairung Seri Istana Seri Terentang, Pekan dengan penuh istiadat.

Baginda juga amat meminati seni dan budaya di mana semasa pemerintahan Baginda, kegiatan seni dan budaya seperti joget dan gamelan sangat giat diadakan. Kegiatan sukan dan permainan tradisional Melayu juga sering diadakan seperti lumba perahu, menuba, memburu dan silat.

Duli Yang Maha Mulia Sultan Abdullah telah mangkat di Istana Kuning pada 22 Jun 1932 di hadapan sekalian putera- puteri, saudara- mara dan Orang- Orang Besar Negeri. Al-Marhum Baginda dimakamkan di Makam Diraja Kampung Marhum, Kuala Pahang. Sebelum Al-Marhum Baginda dimakamkan, Yang Dipertua Adat Istiadat Negeri Pahang telah mengisytiharkan perlantikan putera Baginda, Tengku Abu Bakar iaitu Tengku Mahkota Pahang dilantik sebagai Sultan. Duli Yang Maha Mulia Sultan Abdullah Al-Mu'tasim Billah Ibni Al-Marhum Sultan Ahmad Al-Mu'adzam Shah mangkat dengan meninggalkan tiga orang isteri iaitu Che Endut, Che Kalsum bt Abdullah dan Che Wan Chantik bt Wan Mohd Amin dengan sepuluh orang putera dan tujuh orang puteri.

Sultan IV

Duli Yang Maha Mulia Al-Marhum Sultan Abu Bakar Ri'ayatuddin Al-Mu'adzam Shah Ibni Al-Marhum Sultan Abdullah Al-Mu'tasim Billah telah diputerakan pada 29 Mei 1904 bersamaan 14 Rabi'ul Awal Tahun 1322 Hijrah. Baginda merupakan putera kepada Al-Marhum Sultan Abdullah dengan Che Kalsum bt Abdullah.

Baginda telah diasuh, dipelihara dan dijaga dengan penuh kasih sayang oleh Hajjah Aishah sehingga dewasa. Baginda telah mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Pekan. Selepas itu, Baginda menyambung pendidikannya di dalam aliran Inggeris di Maktab Melayu Kuala Kangsar atau dikenali sebagai Malay College Kuala Kangsar(MCKK) di Negeri Perak.

Baginda sentiasa menjelajah ke seluruh pelusuk negeri, daerah, kampung- kampung untuk bersama-sama dengan rakyat jelata. Baginda juga turut menyokong proses untuk mendapatkan kemerdekaan untuk Tanah Melayu pada ketika itu. Ketika pemerintahan Baginda jugalah telah lahir ramai pendekar-pendekar yang handal di negeri Pahang.

Semasa remajanya, Baginda mempunyai kegemaran dan minat dalam seni budaya seperti Gamelan, Zapin, Inang, Canggong, Cinta Sayang hinggalah tarian- tarian moden yang lain. Pada tahun 1972, Baginda telah membawa balik Gamelan ke Negeri Pahang yang telah dibeli dari Tengku Mariam, ibu saudara Baginda dari Terengganu. Selain itu, Baginda juga begitu aktif dalam lapangan sukan seperti permainan Polo, Tenis, Lumba Kuda, Lumba Perahu, dan sebagainya.


Baginda telah melangsungkan perkahwinan dengan Duli Yang Maha Mulia Tengku Ampuan Pahang, Raja Fatimah, puteri kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan Iskandar Shah Ibni Al-Marhum Sultan Idris Shah, di Kuala Kangsar, Perak. Perkahwinan Baginda merupakan perkahwinan di antara dua kerabat Diraja yang mempunyai pertalian persaudaraan iaitu saudara sepupu melalui bonda Tengku Ampuan Fatimah yang bernama Tengku Nong binti Sultan Ahmad Al-Mu'adzam Shah.

Pada 4 Jun 1930, Duli Yang Maha Mulia Sultan Abdullah Al-Mu'tasim Billah Ibni Al-Marhum Sultan Ahmad Al-Mu'adzam Shah telah berkenan melantik Tengku Abu Bakar Ibni Sultan Abdullah Al-Mu'tasim Billah sebagai Yang Teramat Mulia Tengku Mahkota Pahang.


Baginda merupakan putera Raja yang pertama dikurniakan gelaran Yang Teramat Mulia Tengku Mahkota Pahang dalam sejarah Kesultanan Pahang.

Berikutan kemangkatan ayahanda Baginda, Baginda menaiki takhta Kerajaan negeri Pahang pada 24 Jun 1932. Baginda kemudiaannya ditabalkan sebagai Sultan Abu Bakar Ri'ayatuddin Al-Mu'adzam Shah pada hari Ahad, 28 Mei 1933 di Istana Pantai, Pekan. Pada waktu itu, usia Baginda baru mencecah 28 tahun dan Baginda merupakan Sultan Pemerintah yang paling muda di dalam sejarah Raja-Raja Tanah Melayu pada ketika itu.

Di zaman pemerintahan Baginda, bermulalah mercu tanda pembangunan Negeri Pahang moden, di mana perubahan dari segi politik dan sosial berlaku dengan cukup pesat walaupun dengan kemaraan Tentera Jepun di Tanah Melayu ketika Perang Dunia Kedua.

Semasa penjajahan Jepun dalam tahun 1941 hingga tahun 1945, Al-Marhum telah bersetuju dengan secara sulit supaya orang-orang Melayu dalam negeri ini menubuhkan Pasukan Tentera Wataniah yang dikenali dengan nama 'Pasukan 136' yang ketika itu diketuai oleh Yoep Mahidin, Tun Haji Abdul Razak Hussain, Tan Sri Ghazalie Shafie dan Abdul Rahman Ismail. Peranan yang dimainkan oleh Baginda dalam menghadapi jajahan Tentera Jepun di Pahang telah membuktikan kewibawaan Baginda sebagai Raja yang berdaulat.

Peristiwa di mana Baginda ditahan selama 27 hari di Ladang Getah Ng Tiong Kiat, Sungai Jerik (17 Ogos 1945 - 9 September 1945) menjadi natijah kecekapan, kecekalan, kesabaran dan kewibawaan Baginda dalam mengatasi saat-saat yang sangat kritikal. Kejadian tersebut telah menggemparkan masyarakat Pahang pada ketika itu.

Kepesatan pertumbuhan ekonomi seperti perlombongan bijih timah, emas dan perladangan getah berlaku pada zaman pemerintahan Baginda sejurus selepas Kemerdekaan Tanah Melayu. Semasa pemerintahan Baginda juga, ibu negeri Pahang yang pada ketika itu Kuala Lipis, telah dipindahkan ke Kuantan. Sebagai seorang Raja Pemerintah yang sangat prihatin atas segala hal ehwal berkaitan perkembangan agama Islam di Negeri Pahang, Baginda telah mengambil beberapa langkah untuk kemajuan dan kebangkitan agama. Di antaranya, pada Mac 1950 menubuhkan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Pahang, menghidupkan kembali jawatan Mufti kerajaan kepada jawatan Kadi Besar serta mewujudkan sebuah Sekolah Arab Tinggi dengan nama Kuliah Al-Lughah Waddin Al-Sultan Abu Bakar Pahang dalam tahun 1941.

Baginda merupakan seorang Raja pencetus kemodenan atau pembawa arus perubahan di dalam sejarah Negeri Pahang moden. Banyak adat-adat yang tidak bersesuaian pada masa itu ditinggalkan. Baginda mengikut dan bergerak menurut masa dari segi pemikiran, pemerintahan dan memimpin rakyat. Baginda mangkat pada 5 Mei 1974 di Istana Kecil, Pekan setelah memerintah negeri Pahang selama 42 tahun.

Sunday, April 26, 2009

Sejarah Negeri.

Penyelidikan telah dibuat oleh ahli kaji purba secara ilmiah di beberapa tempat di Negeri Pahang Darul Makmur iaitu di gua-gua batu, di gunung-gunung, di tempat berhampiran dengan sungai, di tanah perlombongan lama dan juga di tempat lapang. Jumpaan benda purba terdiri daripada batu, tembikar, gangsa dan besi kuno buatan orang zaman purbakala.

Tempat tersebut ialah di gua batu kapur seperti Kota Tongkat, Kota Gelanggi dekat Jerantut; Gua Kecil, Raub; Gunung Senyum; Bukit Chintamanis, Karak; Sungai Lembing, Tersang, Kuala Lipis Sungai Selinsing, Sungai Tui, Nyong, Teluk Lubuk Puai, Batu Pasir Garam, Bukit Jong dan Kg. Padi di persimpangan Sungai Tembeling dan beberapa tempat lagi di sepanjang Sungai Pahang. Antara benda purba yang dijumpai tertanam dalam tanah di negeri ini ialah barang dan perkakas yang dibuat daripada batu oleh orang zaman batu pertengahan (mesolithic). Barang-barang tersebut ialah kapak genggam, beliung dan pahat.

Ahli kaji purba menyatakan manusia zaman batu pertengahan yang mendiami Negeri Pahang Darul Makmur tinggal di gua batu dan gua-gua di gunung-ganang negeri ini dan mereka adalah kumpulan yang mula-mula datang ke Semenanjung Tanah Melayu dan Tanah Besar Benua Asia. Rombongan Melayu Proto mendiami Semenanjung termasuk Pahang dan pulau-pulau Nusantara ialah dalam lingkungan 3,000 atau 2,000 sebelum Masehi.

Dari aspek pertanian, barang dan perkakas buatan orang zaman batu akhir yang telah dijumpai dalam tanah ialah benda yang berupa mata lembing, pisau, sabit, cangkul, tenggala dan lain-lain perkakas ganjil yang dibuat daripada besi zaman dahulu. Tempat yang dijumpai terutamanya di tepi Sungai Lembing, Teluk Lubuk Puai Jong tepi Sungai Lipis. Di Kampung Batu Pasir Garam di tepi Sungai Tembeling, dijumpai pecahan muka gendang zaman dahulu yang diperbuat daripada gangsa. Gendang gangsa ini digunakan oleh orang yang memakai kebudayaan gangsa. Dr. Linehan berpendapat gendang gangsa ini ditukangi di Indo-China dan dibawa dari negeri Funan ke Ulu Tembeling antara kurun Masihi ketiga iaitu dibawa bersama-sama dengan perkakas dari besi kuno (tulang mawas).

Mengikut ahli kaji manusia dan ahli sejarah, orang Melayu pesisir (DeutroMalays) ialah nenek moyang orang Melayu yang tinggal di daerah pantai Semenanjung Tanah Melayu. Pendek kata pada zaman dahulu kala selain daripada orang asli iaitu orang Semang dan puaknya di Negeri Pahang Darul Makmur telah didiami oleh manusia yang disebut dalam ilmu sejarah sebagai manusia zaman batu pertengahan, zaman batu akhir atau permulaan zaman gangsa lagi.